Berkaitan Perpustakaan

Sunday, 16 May 2010

Peristiwa Penting

Peristiwa Penting

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) pengambilalihan khidmat Pengurusan Sumber Manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis di bawah Perpustakaan Negara Malaysia telah diadakan pada 16 Mei 2010.Perjanjian ini telah ditandatangani oleh YBhg. Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan YB Dato’ Mohd Zabidi Zainal, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dengan termetrainya perjanjian ini, maka pengurusan sumber manusia Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan rasminya kini berada di bawah Perpustakaan Negara Malaysia.

Walau bagaimanapun Enakmen PPANPerlis Bil 1 tahun 1984 masih terpakai dan Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik juga dikekalkan. Majlis penyerahan rasmi perjanjian ini telah disempurnakan pada 17 Jun 2011 oleh YAB Menteri Besar Perlis kepada Ketua Pengarah PNM di Perpustakaan Negara Malaysia.



sumber : Laporan 2013

Tuesday, 7 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 7

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Sekalung Budi

Dengan perpindahan ke bangunan baru ini bermakna tercapailah sudah segala impian dan cita-cita seperti mana yang diharapkan oleh mereka yang telah berusaha bagi mewujudkan sebuah perpustakaan di negeri Perlis. Walaupun ada di antara mereka yang tidak sempat menyaksikan detik kegemilangan dan pencapaian perkhidmatan perpustakaan masa kini tetapi nama mereka akan tetap tercatat dalam diari sejarah perpustakaan awam ini.

Segala kejayaan yang dicapai oleh perpustakaan sekarang adalah merupakan hasil usaha mereka yang terdahulu yang telah sedar sejak awal lagi tentang kepentingan ilmu bagi pembangunan mental rakyat di negeri ini. Biarlah Perlis dianggap kecil dari segi saiznya tetapi ia mempunyai rakyat yang gemar membaca dan berilmu. Secara tidak langsung hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai "Negeri Ilmu" telah menampakkan hasilnya dan kini Perpustakaan Awam Negeri terus membangun dan meningkatkan. perkhidmatannya ke arah menuju matlamat Wawasan 2020.

Kepada semua yang telah memberikan sumbang bakti mereka terhadap perkembangan PerpustakaanAwam ini dari dahulu hinggalah sekarang, sekalung budi kami tujukan untuk mereka atau saudara-mara mereka yang membaca artikel ini.

Monday, 6 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 6

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Projek Bangunan Baru

Pihak Lembaga Pengarah telah berusaha untuk mendapatkan tapak yang sesuai untuk bangunan baru Perpustakaan Negeri memandangkan kesesakan dan lokasi yang kurang sesuai di bangunan yang sedia ada. Peruntukan sebanyak RMl juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga untuk projek bangunan baru perpustakaan dengan keluasan lantai 25,000 kaki persegi. Pelan yang disediakan oleh Arkitek dari JKR Perlis telah mendapat kelulusan Bahagian Piawaian & Kos EPU, Kuala Lumpur. Tapak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri terletak di belakang Pejabat Pos, Kangar dan berhadapan dengan Jabatan Pendidikan Negeri sekarang. Walau bagaimanapun, beberapa masalah telah timbul sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk perubahan tapak dan keadaan kemelesetan ekonomi negara.

Keadaan itu menyebabkan pelaksanaan projek berkenaan terpaksa ditangguhkan dari setahun ke setahun sehinggalah masuk ke Rancangan Malaysia Kelima. Upacara menanam cerucuk projek bangunan baru perpustakaan pada 22 Mei 1986 oleh YAB Menteri Besar Perlis, Dato Ali Haji Ahmad (ketika itu). Masalah penukaran tapak dapat diselesaikan pada tahun 1981 dan Kerajaan Negeri telah meluluskan tapak baru, yang terletak di Jalan Penjara (lokasi bangunan sekarang).

Kerja-kerja membersih dan menambun tapak telah disiapkan pada bulan Julai 1983 dengan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Pusat pada tahun 1980. Sementara itu, usaha terus dibuat bagi mendapatkan semula peruntukan yang dibekukan oleh Kerajaan Pusat. Pada bulan Mac, 1985 semasa YB Menteri Kewangan, Encik Daim Zainuddin melawat ke negeri ini, YAB Menteri Besar, Dato Ali Haji Ahmad telah mengemukakan masalah kewangan yang dihadapi bagi meneruskan projek sebanyak RM2 juta di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup bagi negeri Perlis. Permohonan itu telah diluluskan untuk dibelanjakan bagi projek bangunan Perpustakaan Awam Negeri.

Pihak JKR Negeri telah mengeluarkan tender bagi projek itu pada bulan Disember,1985 dan upacara menanam cerucuk telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar pada 22 Mei, 1986. Bangunan baru Perpustakaan Negeri telah siap pembinaannya pada bulan Disember,1987.

Kerja-kerja pemindahannya dimulakan pada bulan Januari 1988 dan ia telah dapat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai mulai 2 April, 1988. Pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 September, 1988.

Kcrja-kerja pemindahan bermula pada bulan Januari, 1988

Sunday, 5 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 5

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Perkembangan Selepas Menjadi Perbadanan

Dari sejak Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri mengambil alih tugas-tugas khutub khanah negeri, dapatlah dilihat pelbagai perubahan dan kemajuan dari tahun ke tahun. Pihak Kerajaan Negeri dan Pusat melalui Perpustakaan Negara terus memberi perhatian terhadap perkembangan perpustakaan dengan menyediakan peruntukan bagi belanja mengurus dan pembangunan perpustakaan itu.

Pada tahun 1976, seorang Penolong Pustakawan telah dilantik bagi mengetuai pentadbiran perpustakaan ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perpustakaan dan Pelayan Perpustakaan serta seorang Penyemak Perpustakaan Sambilan yang bertugas dari 4.30-6.00 petang.

Pada tahun 1977, Lembaga Pengarah Perbadanan telah bersetuju menukarkan nama
Perpustakaan Umum kepada Awam bagi menyeragamkannya dengan Perbadanan-perbadanan Perpustakaan Negeri lain. Nama khutub khanah di papan tanda juga telah diubah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
 
Barisan Jawatankuasa Khutub Khanah telah dengan rasrninya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan dengan dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Mansor Osman dan Penolong Pustakawan sebagai Setiausaha. Untuk pertama kalinya, Kerajaan Pusat melalui YB Menteri Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Hassan Adli telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000.00 kepada YAB Menteri Besar Perlis pada 20 November 1976 bagi pembangunan perpustakaan itu.

Kerajaan Negeri juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM15,000.00 setahun bagi perbelanjaan mengurus. Selain itu, sumbangan derma daripada orang perseorangan turut diterima.

Bilangan ahli berdaftar sehingga akhir tahun 1976 adalah seramai 2423 orang iaitu menunjukan pertambahan sebanyak 1285 orang pada tahun 1976 sahaja. Sementara koleksi buku pinjaman telah meningkat kepada 11,045 naskhah dan jumlah pinjaman ialah sebanyak 12,945 naskhah iaitu purata sebanyak 48 buah buku sehari dipinjamkan. Penggunaan pada hari-hari Sabtu dan Khamis begitu ramai sehingga menyebabkan tempat duduk tidak mencukupi.