Berkaitan Perpustakaan

Tuesday 7 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 7

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Sekalung Budi

Dengan perpindahan ke bangunan baru ini bermakna tercapailah sudah segala impian dan cita-cita seperti mana yang diharapkan oleh mereka yang telah berusaha bagi mewujudkan sebuah perpustakaan di negeri Perlis. Walaupun ada di antara mereka yang tidak sempat menyaksikan detik kegemilangan dan pencapaian perkhidmatan perpustakaan masa kini tetapi nama mereka akan tetap tercatat dalam diari sejarah perpustakaan awam ini.

Segala kejayaan yang dicapai oleh perpustakaan sekarang adalah merupakan hasil usaha mereka yang terdahulu yang telah sedar sejak awal lagi tentang kepentingan ilmu bagi pembangunan mental rakyat di negeri ini. Biarlah Perlis dianggap kecil dari segi saiznya tetapi ia mempunyai rakyat yang gemar membaca dan berilmu. Secara tidak langsung hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai "Negeri Ilmu" telah menampakkan hasilnya dan kini Perpustakaan Awam Negeri terus membangun dan meningkatkan. perkhidmatannya ke arah menuju matlamat Wawasan 2020.

Kepada semua yang telah memberikan sumbang bakti mereka terhadap perkembangan PerpustakaanAwam ini dari dahulu hinggalah sekarang, sekalung budi kami tujukan untuk mereka atau saudara-mara mereka yang membaca artikel ini.

Monday 6 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 6

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Projek Bangunan Baru

Pihak Lembaga Pengarah telah berusaha untuk mendapatkan tapak yang sesuai untuk bangunan baru Perpustakaan Negeri memandangkan kesesakan dan lokasi yang kurang sesuai di bangunan yang sedia ada. Peruntukan sebanyak RMl juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga untuk projek bangunan baru perpustakaan dengan keluasan lantai 25,000 kaki persegi. Pelan yang disediakan oleh Arkitek dari JKR Perlis telah mendapat kelulusan Bahagian Piawaian & Kos EPU, Kuala Lumpur. Tapak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri terletak di belakang Pejabat Pos, Kangar dan berhadapan dengan Jabatan Pendidikan Negeri sekarang. Walau bagaimanapun, beberapa masalah telah timbul sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk perubahan tapak dan keadaan kemelesetan ekonomi negara.

Keadaan itu menyebabkan pelaksanaan projek berkenaan terpaksa ditangguhkan dari setahun ke setahun sehinggalah masuk ke Rancangan Malaysia Kelima. Upacara menanam cerucuk projek bangunan baru perpustakaan pada 22 Mei 1986 oleh YAB Menteri Besar Perlis, Dato Ali Haji Ahmad (ketika itu). Masalah penukaran tapak dapat diselesaikan pada tahun 1981 dan Kerajaan Negeri telah meluluskan tapak baru, yang terletak di Jalan Penjara (lokasi bangunan sekarang).

Kerja-kerja membersih dan menambun tapak telah disiapkan pada bulan Julai 1983 dengan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Pusat pada tahun 1980. Sementara itu, usaha terus dibuat bagi mendapatkan semula peruntukan yang dibekukan oleh Kerajaan Pusat. Pada bulan Mac, 1985 semasa YB Menteri Kewangan, Encik Daim Zainuddin melawat ke negeri ini, YAB Menteri Besar, Dato Ali Haji Ahmad telah mengemukakan masalah kewangan yang dihadapi bagi meneruskan projek sebanyak RM2 juta di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup bagi negeri Perlis. Permohonan itu telah diluluskan untuk dibelanjakan bagi projek bangunan Perpustakaan Awam Negeri.

Pihak JKR Negeri telah mengeluarkan tender bagi projek itu pada bulan Disember,1985 dan upacara menanam cerucuk telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar pada 22 Mei, 1986. Bangunan baru Perpustakaan Negeri telah siap pembinaannya pada bulan Disember,1987.

Kerja-kerja pemindahannya dimulakan pada bulan Januari 1988 dan ia telah dapat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai mulai 2 April, 1988. Pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 September, 1988.

Kcrja-kerja pemindahan bermula pada bulan Januari, 1988

Sunday 5 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 5

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Perkembangan Selepas Menjadi Perbadanan

Dari sejak Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri mengambil alih tugas-tugas khutub khanah negeri, dapatlah dilihat pelbagai perubahan dan kemajuan dari tahun ke tahun. Pihak Kerajaan Negeri dan Pusat melalui Perpustakaan Negara terus memberi perhatian terhadap perkembangan perpustakaan dengan menyediakan peruntukan bagi belanja mengurus dan pembangunan perpustakaan itu.

Pada tahun 1976, seorang Penolong Pustakawan telah dilantik bagi mengetuai pentadbiran perpustakaan ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perpustakaan dan Pelayan Perpustakaan serta seorang Penyemak Perpustakaan Sambilan yang bertugas dari 4.30-6.00 petang.

Pada tahun 1977, Lembaga Pengarah Perbadanan telah bersetuju menukarkan nama
Perpustakaan Umum kepada Awam bagi menyeragamkannya dengan Perbadanan-perbadanan Perpustakaan Negeri lain. Nama khutub khanah di papan tanda juga telah diubah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
 
Barisan Jawatankuasa Khutub Khanah telah dengan rasrninya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan dengan dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Mansor Osman dan Penolong Pustakawan sebagai Setiausaha. Untuk pertama kalinya, Kerajaan Pusat melalui YB Menteri Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Hassan Adli telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000.00 kepada YAB Menteri Besar Perlis pada 20 November 1976 bagi pembangunan perpustakaan itu.

Kerajaan Negeri juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM15,000.00 setahun bagi perbelanjaan mengurus. Selain itu, sumbangan derma daripada orang perseorangan turut diterima.

Bilangan ahli berdaftar sehingga akhir tahun 1976 adalah seramai 2423 orang iaitu menunjukan pertambahan sebanyak 1285 orang pada tahun 1976 sahaja. Sementara koleksi buku pinjaman telah meningkat kepada 11,045 naskhah dan jumlah pinjaman ialah sebanyak 12,945 naskhah iaitu purata sebanyak 48 buah buku sehari dipinjamkan. Penggunaan pada hari-hari Sabtu dan Khamis begitu ramai sehingga menyebabkan tempat duduk tidak mencukupi.

Saturday 4 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 4

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Petugas

Dengan khidmat sukarela daripada Encik B.P. Chopra, 2 orang sukarelawan Amerika, beberapa orang guru dan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah di Kangar, koleksi buku telah dapat dikatalogkan. Mereka bertugas secara bergilir bagi mengawasi khutub khanah ini semasa ia dibuka.

Seorang Kerani Sementara telah dilantik bagi menjalankan tugas sepenuh masa dari jam 10.00 pagi kecuali hari Jumaat dan cuti am. Beliau dibayar gaji sebanyak RM100 sebulan. Pada bulan Mac 1970, Cik Badariah Salleh, guru berkelulusan dalam bidang Sains Perpustakaan dari Jerman Barat telah dilantik. Bagaimanapun khidmat beliau hanya sekejap sahaja kerana beliau terpaksa bertukar ke Perak.

Untuk sementara waktu, Cik Mashitah Aman, guru, dilantik bagi menggantikan kekosongan itu dengan dibantu oleh 2 orang Kerani Sementara hingga pada tahun 1971.

Enakmen Perpustakaan

Perkembangan Khutub Khanah Negeri telah mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat khususnya Perpustakaan Negara. Pengarah Perpustakaan Negara, Encik Saad Marzuki serta Encik Wijasuriya selaku Timbalan Pengarah telah mengadakan lawatan ke negeri Perlis untuk berbincang dengan Jawatankuasa berkenaan mengenai masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam menguruskan perjalanan Khutub Khanah ini.

Mereka juga sempat bertemu dengan YAB Menteri Besar Datuk Jaafar Hassan dan mengesyorkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan Perbadanan PerpustakanAwam Negeri sebagai Badan Berkanun. Langkah itu bertujuan membolehkan kakitangan ikhtisas yang mempunyai kelulusan dalam bidang Sains Perpustakaan, dilantik bagi mentadbirkan perpustakaan yang sedia ada dengan lebih teratur dan sistematik lagi.

Jawatankuasa Kerja Khutub Khanah Negeri terdiri daripada:
Encik Ahmad Mahfuz Ali (Pengerusi)
Encik Hashim Mohamad (Setiausaha)
Encik B.P. Chopra (Bendahari)
Encik Mohamad Salim (Ahli)

Mereka mengadakan mesyuarat beberapa kali bagi merangka Enakmen Perbadanan yang dicadangkan itu untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Satu enakmen yang dinamakan "Enakmen Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri Perlis" telah dapat digubal dengan bantuan daripada Perpustakaan Negara dan diwartakan secara rasmi pada 20 November 1973. Dengan termeterainya enakmen tersebut, Perbadanan itu dengan rasminya mengambil alih perjalanan Khutub Khanah Negeri. Barisan Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menguruskan pentadbiran perpustakaan tersebut.

Pada tahun yang sama, Kerajaan Negeri telah menawarkan biasiswa kepada 2 orang anak negeri ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Perpustakaan di ITM. Ia bagi membolehkan mereka yang berkenaan supaya dapat berkhidmat dengan perpustakaan negeri apabila tamat pengajian kelak.

Friday 3 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 3

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Kelengkapan Dan Koleksi

Kelengkapan yang dapat disediakan pada ketika itu ialah 2 buah rak buku, 2 buah meja dan 16 kerusi pembaca, sebuah almari yang dihadiahkan oleh Persatuan Teksi Perlis, dan sebuah kabinet katalog sumbangan YB Dato Azizul Rahman. Koleksi buku telah meningkat kepada 7198 naskhah pada tahun 1972, yang kebanyakannya diperolehi melalui sumbangan daripada pihak USIS, DBP, British Council dan Kedutaan-kedutaan di Kuala Lumpur.

Sumber Kewangan

Bagi mentadbirkan khutub khanah itu sudah tentulah sumber pendapatan perlu diadakan. Sebagai permulaannya, Kerajaan Negeri memberikan peruntukan sebanyak RM500 dan pihak Majlis Bandaran Kangar juga telah memperuntukkan tambahan RM500 lagi mulai 19 November 1966. Pada tahun 1970, Majlis Bandaran Kangar telah memberikan peruntukan sebanyak RM1000 setahun bagi membiayai perjalanan khutub khanah ini.

Bagi menampung sumber kewangan khutub khanah itu, pihak Jawatankuasa telah
mengenakan yuran keahlian kepada semua pembaca yang mendaftar sebagai ahli dengan kadar RM6.00 setahun bagi dewasa dan RM2.00 setahun bagi kanak-kanak.


Thursday 2 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 2

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Pembukaan Rasmi

KHUTUB Khanah itu menggunakan Bilik Pertahanan Awam pada 15 Februari 1969 setelah pihak JKR menjalankan kerja-kerja ubahsuai bangunan tersebut di bawah pengawasan Juruteranya iaitu Encik Lim Teik Mei.

Pada peringkat permulaannya, khutub khanah ini hanya dibuka sebagai bilik bacaan sahaja kerana koleksi buku-buku yang ada belum mencukupi untuk dipinjamkan kepada pengguna. Pinjaman buku-buku kepada ahli-ahli hanya dibenarkan mulai pertengahan bulan Julai,1970 setelah jumlah koleksinya meningkat kepada 5,000 naskhah. Jumlah ahli yang berdaftar sehingga April, 1971 adalah seramai 207 orang.

Bangunan khutub khanah yang mempunyai keluasan lantai 3,600 kaki persegi itu telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 April, 1969 iaitu selepas Baginda merasmikan pembukaan Jambatan Syed Alwi. Peristiwa itu adalah satu detik sejarah bagi negeri Perlis kerana ia merupakan salah sebuah negeri yang mula-mula sekali dapat mengadakan sebuah khutub khanah di Semenanjung Malaysia ini.

Perkembangan Khutub Khanah Negeri

Khutub Khanah yang baru dibuka itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di Perlis khususnya para pelajar sekolah di sekitar bandar Kangar dan juga siswa siswi, yang balik bercuti, turut menggunakannya sebagai tempat membuat rujukan.

Keadaan ruang yang sedia ada semakin sempit apabila bilangan pengguna semakin ramai serta koleksi buku yang bertambah pada setiap tahun. Akhirnya, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berada sebumbung dengan Bilik Pertahanan Awam, telah menyerahkan ruangnya untuk digunakan oleh khutub khanah tersebut. Dengan pemberian itu, keluasannya telah dapat ditambah sebanyak 2,000 kaki persegi lagi. Walaupun keluasan ini dianggap kecil bagi menampung sejumlah 120,000 rakyat Perlis pada ketika itu, tetapi ia tetap menjadi kebanggaan kepada mereka, yang telah dapat menjadikannya sebagai titik permulaan ke arah melahirkan rakyat yang gemar membaca dan berilmu.


Wednesday 1 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 1

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Pendahuluan

Hasrat untuk menubuhkan sebuah "Khutub Khanah Atau Perpustakaan" di negeri Perlis telah wujud sejak tahun 1966. Ia hasil usaha dan inisiatif yang ditunjukkan oleh beberapa orang pemimpin dan orang perseorangan di negeri ini yang begitu berminat ke arah menjadikan rakyat di negeri ini sebagai masyarakat yang gemar membaca dan berilmu.

Usaha dan cita-cita mereka itu telah disampaikan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri pada ketika itu iaitu Encik Azizul Rahman. Beliau telah bersetuju untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Khutub Khanah Negeri, yang terdiri daripada:

Pengerusi:
YB Setiausaha Kerajaan Negeri
(Encik Azizul Rahman)

Setiausaha:
Encik Abdullah Marzuki

Ahli-ahli:
 YDP Majlis Bandaran Kangar
 (Encik Mansor Osman)
 Encik Ariffin Md.Nam
 Encik Nor Ahmad Mokhtar
 Encik B.P. Chopra
 Encik Jaafar Hassan
 Encik Jarnail Singh
 Encik Ahmad Mahfuz Ali
 Encik Foo Hee Liang
 Tuan Syed Omar Syed Hussain
 Encik Othman Abdullah
 Encik Abdul Rahman Ahmad


Jawatankuasa itu telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada 28 September 1968 dan bersetuju menggunakan Bilik Pertahanan Awam di bangunan Mahkamah lama, yang terletak di Jalan Kelab Indera Kayangan, Kangar sebagai tapak permulaan bagi memulakan sebuah khutub khanah di negeri Perlis. Segala kelengkapan termasuk buku-buku diperolehi melalui sumbangan derma daripada pihak swasta, ahli-ahli perniagaan dan orang perseorangan. Perubahan tempat ini adalah lebih sesuai berbanding dengan usaha awal tahun 1966 di mana ia hanya menumpang di bangunan Kelab Indera Kayangan, Kangar.