Berkaitan Perpustakaan

Tuesday, 7 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 7

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Sekalung Budi

Dengan perpindahan ke bangunan baru ini bermakna tercapailah sudah segala impian dan cita-cita seperti mana yang diharapkan oleh mereka yang telah berusaha bagi mewujudkan sebuah perpustakaan di negeri Perlis. Walaupun ada di antara mereka yang tidak sempat menyaksikan detik kegemilangan dan pencapaian perkhidmatan perpustakaan masa kini tetapi nama mereka akan tetap tercatat dalam diari sejarah perpustakaan awam ini.

Segala kejayaan yang dicapai oleh perpustakaan sekarang adalah merupakan hasil usaha mereka yang terdahulu yang telah sedar sejak awal lagi tentang kepentingan ilmu bagi pembangunan mental rakyat di negeri ini. Biarlah Perlis dianggap kecil dari segi saiznya tetapi ia mempunyai rakyat yang gemar membaca dan berilmu. Secara tidak langsung hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai "Negeri Ilmu" telah menampakkan hasilnya dan kini Perpustakaan Awam Negeri terus membangun dan meningkatkan. perkhidmatannya ke arah menuju matlamat Wawasan 2020.

Kepada semua yang telah memberikan sumbang bakti mereka terhadap perkembangan PerpustakaanAwam ini dari dahulu hinggalah sekarang, sekalung budi kami tujukan untuk mereka atau saudara-mara mereka yang membaca artikel ini.

Monday, 6 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 6

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Projek Bangunan Baru

Pihak Lembaga Pengarah telah berusaha untuk mendapatkan tapak yang sesuai untuk bangunan baru Perpustakaan Negeri memandangkan kesesakan dan lokasi yang kurang sesuai di bangunan yang sedia ada. Peruntukan sebanyak RMl juta telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga untuk projek bangunan baru perpustakaan dengan keluasan lantai 25,000 kaki persegi. Pelan yang disediakan oleh Arkitek dari JKR Perlis telah mendapat kelulusan Bahagian Piawaian & Kos EPU, Kuala Lumpur. Tapak yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri terletak di belakang Pejabat Pos, Kangar dan berhadapan dengan Jabatan Pendidikan Negeri sekarang. Walau bagaimanapun, beberapa masalah telah timbul sebelum ia dapat dilaksanakan termasuk perubahan tapak dan keadaan kemelesetan ekonomi negara.

Keadaan itu menyebabkan pelaksanaan projek berkenaan terpaksa ditangguhkan dari setahun ke setahun sehinggalah masuk ke Rancangan Malaysia Kelima. Upacara menanam cerucuk projek bangunan baru perpustakaan pada 22 Mei 1986 oleh YAB Menteri Besar Perlis, Dato Ali Haji Ahmad (ketika itu). Masalah penukaran tapak dapat diselesaikan pada tahun 1981 dan Kerajaan Negeri telah meluluskan tapak baru, yang terletak di Jalan Penjara (lokasi bangunan sekarang).

Kerja-kerja membersih dan menambun tapak telah disiapkan pada bulan Julai 1983 dengan peruntukan yang diterima daripada Kerajaan Pusat pada tahun 1980. Sementara itu, usaha terus dibuat bagi mendapatkan semula peruntukan yang dibekukan oleh Kerajaan Pusat. Pada bulan Mac, 1985 semasa YB Menteri Kewangan, Encik Daim Zainuddin melawat ke negeri ini, YAB Menteri Besar, Dato Ali Haji Ahmad telah mengemukakan masalah kewangan yang dihadapi bagi meneruskan projek sebanyak RM2 juta di bawah Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup bagi negeri Perlis. Permohonan itu telah diluluskan untuk dibelanjakan bagi projek bangunan Perpustakaan Awam Negeri.

Pihak JKR Negeri telah mengeluarkan tender bagi projek itu pada bulan Disember,1985 dan upacara menanam cerucuk telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar pada 22 Mei, 1986. Bangunan baru Perpustakaan Negeri telah siap pembinaannya pada bulan Disember,1987.

Kerja-kerja pemindahannya dimulakan pada bulan Januari 1988 dan ia telah dapat memberikan perkhidmatan kepada orang ramai mulai 2 April, 1988. Pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis pada 20 September, 1988.

Kcrja-kerja pemindahan bermula pada bulan Januari, 1988

Sunday, 5 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 5

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Perkembangan Selepas Menjadi Perbadanan

Dari sejak Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri mengambil alih tugas-tugas khutub khanah negeri, dapatlah dilihat pelbagai perubahan dan kemajuan dari tahun ke tahun. Pihak Kerajaan Negeri dan Pusat melalui Perpustakaan Negara terus memberi perhatian terhadap perkembangan perpustakaan dengan menyediakan peruntukan bagi belanja mengurus dan pembangunan perpustakaan itu.

Pada tahun 1976, seorang Penolong Pustakawan telah dilantik bagi mengetuai pentadbiran perpustakaan ini dengan dibantu oleh seorang Pembantu Perpustakaan dan Pelayan Perpustakaan serta seorang Penyemak Perpustakaan Sambilan yang bertugas dari 4.30-6.00 petang.

Pada tahun 1977, Lembaga Pengarah Perbadanan telah bersetuju menukarkan nama
Perpustakaan Umum kepada Awam bagi menyeragamkannya dengan Perbadanan-perbadanan Perpustakaan Negeri lain. Nama khutub khanah di papan tanda juga telah diubah kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis.
 
Barisan Jawatankuasa Khutub Khanah telah dengan rasrninya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan dengan dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Encik Mansor Osman dan Penolong Pustakawan sebagai Setiausaha. Untuk pertama kalinya, Kerajaan Pusat melalui YB Menteri Kerajaan Tempatan, Tuan Haji Hassan Adli telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000.00 kepada YAB Menteri Besar Perlis pada 20 November 1976 bagi pembangunan perpustakaan itu.

Kerajaan Negeri juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM15,000.00 setahun bagi perbelanjaan mengurus. Selain itu, sumbangan derma daripada orang perseorangan turut diterima.

Bilangan ahli berdaftar sehingga akhir tahun 1976 adalah seramai 2423 orang iaitu menunjukan pertambahan sebanyak 1285 orang pada tahun 1976 sahaja. Sementara koleksi buku pinjaman telah meningkat kepada 11,045 naskhah dan jumlah pinjaman ialah sebanyak 12,945 naskhah iaitu purata sebanyak 48 buah buku sehari dipinjamkan. Penggunaan pada hari-hari Sabtu dan Khamis begitu ramai sehingga menyebabkan tempat duduk tidak mencukupi.

Saturday, 4 July 1970

Sejarah Ringkas PPANPs - Bahagian 4

Sejarah Ringkas Penubuhan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis
Oleh : Norma Mohd Darus (Mantan Pengarah PPANPs)

Petugas

Dengan khidmat sukarela daripada Encik B.P. Chopra, 2 orang sukarelawan Amerika, beberapa orang guru dan pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah di Kangar, koleksi buku telah dapat dikatalogkan. Mereka bertugas secara bergilir bagi mengawasi khutub khanah ini semasa ia dibuka.

Seorang Kerani Sementara telah dilantik bagi menjalankan tugas sepenuh masa dari jam 10.00 pagi kecuali hari Jumaat dan cuti am. Beliau dibayar gaji sebanyak RM100 sebulan. Pada bulan Mac 1970, Cik Badariah Salleh, guru berkelulusan dalam bidang Sains Perpustakaan dari Jerman Barat telah dilantik. Bagaimanapun khidmat beliau hanya sekejap sahaja kerana beliau terpaksa bertukar ke Perak.

Untuk sementara waktu, Cik Mashitah Aman, guru, dilantik bagi menggantikan kekosongan itu dengan dibantu oleh 2 orang Kerani Sementara hingga pada tahun 1971.

Enakmen Perpustakaan

Perkembangan Khutub Khanah Negeri telah mendapat perhatian daripada Kerajaan Pusat khususnya Perpustakaan Negara. Pengarah Perpustakaan Negara, Encik Saad Marzuki serta Encik Wijasuriya selaku Timbalan Pengarah telah mengadakan lawatan ke negeri Perlis untuk berbincang dengan Jawatankuasa berkenaan mengenai masalah dan kesulitan yang dihadapi dalam menguruskan perjalanan Khutub Khanah ini.

Mereka juga sempat bertemu dengan YAB Menteri Besar Datuk Jaafar Hassan dan mengesyorkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan Perbadanan PerpustakanAwam Negeri sebagai Badan Berkanun. Langkah itu bertujuan membolehkan kakitangan ikhtisas yang mempunyai kelulusan dalam bidang Sains Perpustakaan, dilantik bagi mentadbirkan perpustakaan yang sedia ada dengan lebih teratur dan sistematik lagi.

Jawatankuasa Kerja Khutub Khanah Negeri terdiri daripada:
Encik Ahmad Mahfuz Ali (Pengerusi)
Encik Hashim Mohamad (Setiausaha)
Encik B.P. Chopra (Bendahari)
Encik Mohamad Salim (Ahli)

Mereka mengadakan mesyuarat beberapa kali bagi merangka Enakmen Perbadanan yang dicadangkan itu untuk dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Satu enakmen yang dinamakan "Enakmen Perbadanan Perpustakaan Umum Negeri Perlis" telah dapat digubal dengan bantuan daripada Perpustakaan Negara dan diwartakan secara rasmi pada 20 November 1973. Dengan termeterainya enakmen tersebut, Perbadanan itu dengan rasminya mengambil alih perjalanan Khutub Khanah Negeri. Barisan Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menguruskan pentadbiran perpustakaan tersebut.

Pada tahun yang sama, Kerajaan Negeri telah menawarkan biasiswa kepada 2 orang anak negeri ini untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Perpustakaan di ITM. Ia bagi membolehkan mereka yang berkenaan supaya dapat berkhidmat dengan perpustakaan negeri apabila tamat pengajian kelak.